Ledakan momentum kuasa SO7

LEBIH 7,000 orang penonton memenuhi setiap ruang kawasan Star Expo Centre, KWC Fashion Mall bagi menyaksikan persembahan bertenaga daripada kumpulan popular Indonesia, Sheila On 7 atau lebih sinonim dengan panggilan SO7.

 

Biarpun lebih 20 tahun bertapak dalam lapangan seni, kumpulan yang dianggotai oleh Brian, Eross, Duta dan Adam nyata tidak menghampakan pemuja setia mereka yang hadir ke Konsert Sheila On 7 – Live In Kuala Lumpur 2018.

Persembahan dimulakan dengan lagu berjudul Harper dilihat bagai menyuntik jalur tenaga kepada penonton, sekali gus menjadi ‘pemanas badan’.

Tidak membiarkan penonton ternanti-nantikan persembahan mereka, SO7 terus memacu adrenalin penonton dengan dendangan lagu J.A.P dan Bila Kau Tak Disampingku.

Bukan sahaja kelunakan suara Duta selaku vokalis SO7, bahkan lontaran suara peminat turut menyanyikan setiap baris lagu tersebut menjadikan persembahan semakin rancak dan bertenaga.

Jeritan suara penonton bagaikan ledakan gunung berapi yang mengharapkan lebih daripada SO7. Tanpa meninggalkan sedikit ruang waktu untuk ’beristirehat’, Duta pantas meneruskan persembahan menerusi gabungan lagu Tunjuk Satu Bintang, Dan serta Itu Aku yang dinyanyikan secara medley.

Setelah beberapa ketika persembahan berlalu, Duta mengambil peluang untuk berinteraksi dengan penonton yang tidak jemu-jemu memberi sokongan.

Katanya, variasi usia penonton yang hadir menyaksikan konsert tersebut membuatkan secara tidak langsung telah menjadi pembakar semangat buat mereka terus berkarya pada masa hadapan.

“Kami gembira diberi peluang kembali ke Malaysia dan terima kasih kepada peminat dari Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura. Semoga kalian semua berasa terhibur dengan persembahan kami,” jelas Duta.

Meskipun SO7 mula ditubuhkan pada tahun 1999, namun kepelbagaian peringkat usia penonton yang hadir pada konsert yang berlangsung pada Sabtu lalu memberikan gambaran bahawa muzik mereka masih kekal utuh dan relevan.

Kemudian, mereka meneruskan persembahan dengan lagu Film Favorit. Single tersebut baru dilancarkan bagaimanapun peminat seperti sudah menghafal setiap lagu mereka dan turut sama menyanyikannya.

Berlalu dengan lagu yang berentak perlahan, persembahan kembali dirancakkan dengan Pejantan Tangguh, sekali gus menyemarakkan semangat penonton untuk turut sama menyanyi sambil menari. Emosi peminat seterusnya dibuai dengan lagu Radio dan kemudian medley Saphia serta Betapa.

Menghampiri satu jam 30 minit persembahan, SO7 meneruskan acara dengan persembahan lagu Pemuja Rahasia, Lapang Dada, Melompat Lebih Tinggi. Sebelum melabuhkan tirai konsert, Duta sempat mengucapkan jutaan terima kasih daripada mereka dan mengharapkan diberi peluang untuk kembali semula ke Malaysia kelak.

Menyentuh perasaan penonton, lagu Sebuah Kisah Klasik yang dipersembahkan secara medley dijadikan penutup tirai Konsert Sheila On 7 – Live In Kuala Lumpur 2018.

Mengukirkan kenangan indah dalam setiap kotak memori penonton yang hadir, rata-rata mereka berasa berpuas hati dengan persembahan SO7 meskipun terdapat beberapa insiden teknikal yang seharusnya tidak berlaku pada acara sebegitu.

Kepuasan

Tiada yang perlu mempertikai kelunakan suara vokalis SO7 mahupun alunan muzik pengiring pada malam itu terutama melibatkan persembahan gitar (Eross) dan dram (Brian) solo.

Pengalaman dua dasawarsa nyata telah mendewasakan mereka tentang corak muzik yang bukan sahaja menyamankan halwa telinga tetapi memberi inspirasi kepada penonton.

Namun, kejadian teknikal pembesar suara yang kadang kala ‘menenggelamkan’ vokal penyanyi disebabkan bunyi muzik iringan kedengaran lebih kuat selain ditambah dengan kekuatan ‘persembahan’ peminat.

Kejadian desingan pembesar suara juara turut menjadi antara kelemahan konsert tersebut yang seharusnya berjalan dengan sempurna agar tampak bersesuaian dengan jenama S07 sendiri.

Biarpun begitu, secara keseluruhan konsert tersebut berjaya menghipnotis penonton. Meskipun beberapa lagu hit mereka dipersembahkan secara medley, namun ia cukup menghiburkan penonton yang menjadi konsert kedua mereka di lokasi sama pada tahun 2016.

Source : Kosmo Online

Leave a comment