Pesta Malam Indonesia 2 Menarik Cuma…

Teks oleh Ellyna Ali

Bukan calang-calang barisan kumpulan muzik serta vokal yang dihimpunkan di dalam konsert Pesta Malam Indonesia 2 (PMI2) di Equestrian Park, Bukit Kiara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Daripada Sheila On 7 yang mula-mula sekali mencetuskan histeria peminat Malaysia terhadap muzik pop rock dari negara sebarang itu, Peterpan yang tidak kurang besar pengaruhnya hinggalah kepada Ungu dan Samsons yang turut diminati kerana muzik dan lagu-lagu mereka.

Belum lagi dicampur dengan kehadiran Slank. Band rock otai dari Indonesia ini juga masih belum hilang taringnya dan masih berjaya mengumpul kelompok peminat besar yang mana kebanyakan mereka menggelarkan diri mereka sebagai Slankers.

Sebagai penyeri, PMI2 yang sekali lagi dianjurkan Fat Boys Events ini juga turut menyelitkan kumpulan vokal trio wanita baru, Dewi-Dewi, anak didik kepoada Ahmad Dhani sebagai penyeri.

Namun, semua itu masih belum cukup kuat untuk membuat warga Indonesia dan masyarakat Malaysia berasa terpanggil untuk menyaksikan konsert yang mendapat tajaan utama daripada iTalk TM ini.

Akhirnya, PMI2 hanya berjaya mengumpulkan jumlah penonton seramai 6,000 orang sahaja yang kebanyakannya didominasi kehadiran warga Indonesia yang bekerja dan mencari rezeki di bumi Malaysia. Jumlah tersebut terlalu sedikit jika dibandingkan dengan jumlah penonton yang pernah membanjiri Pesta Malam Indonesia  pertama pada 2005 dulu. Hampir 15,000 penonton memenuhi Stadium Merdeka untuk menyaksikan konsert tersebut.

Membandingkan angka dan pencapaian PMI2 dengan PMI1, ia pasti bukan satu perkhabaran yang enak serta menggembirakan buat pihak penganjur.

Lebih-lebih lagi bila dalam situasi di mana mereka sudah menetapkan sasaran bahawa PMI2 kali ini akan mendapat sambutan yang lebih hebat lagi berbanding yang pertama dulu berdasarkan senarai dan barisan artis yang dipilih untuk membuat persembahan.

Barangkali, ada beberapa perkara yang harus dititikberatkan pihak penganjur sebelum menganjurkan konsert sebesar ini lagi pada masa hadapan. Pertama, kenali dahulu sasaran penonton. Kedua, barulah memilih lokasi yang tepat. Ketiga, pilih tarikh konsert yang bersesuaian.

Kalau sudah tahu bahawa konsert ini kebanyakannya akan dihadiri warga pekerja Indonesia yang rata-ratanya bekerja sebagai buruh kasar, mengapa harus memilih Equestrian Park sebagai lokasi konsert ini.

Lokasi yang tergolong sebagai sebahagian daripada kawasan elit itu menyukarkan mereka untuk datang dan pulang menggunakan khidmat pengangkutan awam. Apatah lagi kebanyakan mereka tidak mempunyai pengangkutan sendiri.

Dalam pada itu, mereka perlu membayar tiket berharga RM50 untuk menyaksikan konsert tersebut. Kalau hendak diiikutkan harga seperti itu memang berbaloi sangat dengan nama-nama besar yang ditampilkan di dalam konsert PMI2 ini. Tetapi, apabila ia dianjurkan pada pertengahan bulan, nilai itu mungkin menjadi satu  bebanan.

Ungu menyerlah, Slank masih unggul

Apapun di sebalik permasalahan semua itu, konsert PMI2 masih boleh dilihat sebagai sebuah penganjuran konsert yang berjaya khususnya buat kebanyakan warga Indonesia yang terlalu gian untuk berpesta dengan barisan band muzik mereka sendiri.

Sungguhpun begitu, bukanlah Dewi-Dewi, Samsons, Sheila On 7, Ungu atau Peterpan yang sebenarnya ditunggu-tunggu mereka, tetapi Slank. Ia bukanlah sesuatu yang pelik atau menghairankan kerana di sana-sini, ada saja kelibat Slankers yang kelihatan sambil membawa sepanduk,, memakai kemeja-T atau bandana kumpulan rotai itu.

Barangkali, mereka jugalah yang menjadi punca berlakunya 6 kali rusuhan di dalam konsert ini kerana sering dikatakan sekiranya ada Slankers, maka rusuhan pasti akan berlaku.

Apapun, konsert PMI2 ini sampai ke kemuncaknya saat Slank muncul dengan lagu-lagu mereka yang cukup simple tetapi memiliki mesej yang cukup kuat dan jelas mengenai isu kehidupan, kedamaian, perjuangan, politik dan isu semasa.

Antaranya ialah seperti lagu Ku Tak Bisa, Terlalu Manis, Gossip Jalanan, Virus Perdamaian dan Bocah Bocah. Pendekatan yang digunakan cukup humble dengan pengunaan bahasa slanga, mungkin itu yang menyebabkan penonton sentiasa berada dekat dengan Slank.

Penguasaan pentas mereka juga cukup baik dan  pemuzik mereka pula sangat  berkarisma dan semua ini melengkapi apa yang penonton inginkan. Sayangnya, ia sedikit dicemari dengan insiden vokalisnya meludah di atas pentas dan menggunakan microphone stand dengan meletakkan di bahagian celah kangkang sambil mengosok-gosok di bahagian sulitnya juga boleh disifatkan sebagai kurang ajar!

Biarpun terpaksa berhadapan dengan masalah teknikal hingga menyebabkan mereka menghentikan persembahan buat seketika, Ungu tetap menyerlah dengan persembahan mereka.

Daripada Melayang, Demi Waktu, Kekasih Gelapku, Andai Ku Tahu, Sesungguhnya hinggalah kepada Semalam di Malaysia yang pernah dibawakan D’lloyd, kesemua lagu itu dibawakan dengan begitu mantap sekali.

Berbeza dengan Sheila On 7 dan Samsons yang kelihatan kurang upaya dan kurang bertenaga dalam persembahan mereka.

Samsons yang baru saja mengadakan persembahan di Jepun dan terus terbang ke Malaysia untuk menjayakan PMI2 tampil dengan lagu Kenangan Terindah, Naluri Lelaki, Luluh, Hey Gadis, Bukan Diriku serta Tak Bisa Memiliki.

Manakala, Sheila On 7 yang terpaksa menerima hakikat bahawa gitaris mereka, Adam, berhadapan dengan keracunan makanan pula membawakan lagu Dan, Ku Petik Bintang, Sephia, Seberapa Pantas, Melompat Lebih Tinggi serta Pejantan Tangguh.

Persembahan Peterpan juga sekadar biasa saja menerusi lagu Ada Apa Denganmu, Mungkin Nanti, Khayalan Tingkat Tinggi dan Bintang Di Syorga. Manakala, Dewi-Dewi pula mempersembahkan lagu Dokter Cinta, Begitu Salah Begitu Benar, Roman Picisan, Takkan Ada Cinta Yang Lain serta Separuh Nafas.

Selain itu rusuhan sebanyak 6 kali dan sikap vokalis Slank yang agak kurang ajar, PMI2 turut dicemari dengan insiden membaling-baling benda daripada penonton yang bengang dan kecewa apabila persembahan daripada kumpulan Ungu terpaksa dihentikan buat seketika apabila berlakunya masalah teknikal.

Tidak cukup dengan itu, vokalis Peterpan, Ariel pula turut mencetuskan kontroversi apabila membuka baju sewaktu membuat persembahan sedangkan mengikut garis panduan yang sudah ditetapkan kerajaan Malaysia, sedangkan perlakuan tersebut adalah sesuatu yang dilarang. Briefing penganjur tidak cukup tegas atau Ariel sengaja?

Advertisements

3 thoughts on “Pesta Malam Indonesia 2 Menarik Cuma…

  1. “Berbeza dengan Sheila On 7 dan Samsons yang kelihatan kurang upaya dan kurang bertenaga dalam persembahan mereka.”

    buta agaknya kata so7 kurang upaya dan kurang bertenaga.. yg duta lari ke hulu kehilir tu apa ke jadah.. ngok!!!! kurang upaya cacat? hueekkk

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s