So7: Berempat tapi masih mantap

Radin Sri Ghazali


Duta serta Eross menunjukka persembahan yang baik pada malam konsert terakhir Malaysian Tour So7 (Foto The Star oleh Ricky Lai)

Walaupun kini dibarisi empat personil, Eross, Duta , Adam dan Brian  masih  menunjukkan bahawa Sheila On Seven (So7) masih mampu menarik ribuan Sheila Gank (gelaran yang diberi kepada peminat mereka) di Malaysia menerusi ‘Digi Sheila On Seven Malaysian Tour’.

Siri konsert yang bermula di Stadium Larkin Johor Bahru pada 13 Ogos yang lalu melabuh tirainya di Stadium Nasional Bukit Jalil pada hari Ahad yang lalu.

Hampir 3,000 orang peminat membanjiri stadium tersebut pada jam 7 petang lagi.

Bumi Band, selaku band pembuka tirai berjaya menenangkan keresahan ribuan penonton yang menunggu lebih daripada satu jam untuk menyaksikan konsert tersebut.

Kumpulan yang berasal dari Bandung itu mempersembahkan beberapa buah lagu termasuk ‘Rantai Rasa Cinta’ serta ‘Goda’, yang merupakan soundtrack lagu kepada filem box-office lakonan Farid Kamil dan Julia Hana, ‘Remp-It’.


Adam serta Eross menunjukkan bakat terpendam mereka ketika menyanyikan lagu ‘Pria Kesepian’ (Foto The Star)

Penonton yang membanjiri stadium itu menjerit dengan sekuat hati sejurus sahaja melihat band kesayangan mereka, So7 menjejak kaki ke atas pentas utama itu.

Band yang pernah dijulang sebagai band terbaik di rantau Asia pada suatu ketika dahulu membawa 19 buah lagu sepanjang konsert yang berlangsung kira-kira dua jam setengah.

So7 memulakan persembahan menerusi lagu berjudul ‘Menyelamatkan ‘ daripada album terbaru mereka ‘So5’ dengan penuh bertenaga serta karisma.

“Belilah album kami banyak-banyak agar duit itu dapat digunakan untuk majlis perkahwinan Eross nanti,” ujar Duta, vokalis utama So7 yang bergurau senda bersama-sama pemain gitarnya, Eross Chandra.

Lagu-lagu berirama rancak seperti ‘Pagi Yang Menakjubkan’, ‘Sahabat Sejati’ serta ‘Pemenang’ melihatkan para penonton melonjat-lonjat mengikut tempo sambil menyanyi bersama-sama band kesayangan mereka.


Para Sheila Gank yang membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil ternyata terhibur dengan persembahan mantap So7 (Foto The Star)


“Saya berharap agar kita semua dapat berhibur bersama-sama. Jika tersiku orang bersebelahan dengan kita, tidak mengapa ya. Kita di sini untuk bergembira,” pesan Duta kepada para penonton agar mereka tidak bersikap ganas atau berang di sebalik keghairahan berhibur.

Suasana konsert tersebut berubah menjadi romantis apabila kumpulan tersebut menyanyikan lagu yang membawa kembali kegemilangan band tersebut di Indonesia, ‘Mantan Kekasih’ (Bekas Kekasih).

Kelihatan ramai pasangan kekasih yang menghadiri konsert tersebut berpelukan sambil menghayati lirik lagu yang mengisahkan seorang lelaki yang masih dahagakan cinta daripada bekas kekasihnya yang telah meninggalkannya.

“Kepada semua gadis di sini, janganlah kamu meninggalkan pacar (kekasih) kamu dengan senang-senang. Ingat, lelaki kini lebih sedikit daripada perempuan,” ujar Duta sejurus sahaja selesai menyanyikan lagu tersebut lantas disambut dengan gelak ketawa daripada penonton-penonton terutamanya di kalangan golongan hawa.

Suasana bertenaga kembali menyelubungi stadium itu apabila  kumpulan yang  popular dengan irama  pop rock mempersembahkan lagu ‘Seberapa Pantas’, ‘JAP’ dan ‘Radio’.

So7 turut melakukan kejutan harijadi untuk salah seorang Sheila Gank terawal mereka yang bernama Jay Jay.

Peminat yang bertuah itu diberi kesempatan untuk berduet bersama-sama Adam serta Eross menerusi lagu ‘Pria Kesepian’.

Duta pula mempersembahkan bakat terpendamnya yakni bermain drum menerusi lagu tersebut.


Adam menunjukkan taring selaku pemain bass tunggal So7 (Foto The Star)

Malam tersebut diakhiri dengan lagu ‘Bila Kau Tak Disampingku’ yang ditujukan khas kepada peminat-peminat mereka yang tidak pernah pudar semangat untuk memberi sokongan kepada kumpulan tersebut.

Di samping memberi persembahan yang hebat sepanjang konsert itu, ahli-ahli So7 turut menyerikan suasana  dengan celoteh serta lawak jenaka terutamanya Duta.

Para penonton tidak kering gusi mendengar gurau sendanya di samping terpikat dengan kehebatan vokal Duta menerusi nyanyian yang begitu dinamik serta bertenaga pada malam tersebut.

Malah,  Eross menunjukkan bahawa dirinya masih hebat bermain gitar secara solo tanpa kehadiran Sakti lantas membuktikan bahawa So7 bakal meneruskan penguasaan mereka di pesada muzik nusantara.

Di samping terhibur dengan persembahan mantap daripada So7, terdapat jua beberapa insiden yang kurang menyenangkan berlaku di kalangan mereka yang menghadiri konsert tersebut.

Beberapa kumpulan mat Indon kelihatan mengibarkan bendera menerusi struktur piramid manusia.

Malah, segelintir penonton berasa tidak berpuas hati lalu membaling botol-botol mineral ke arah mat-mat Indon tersebut sambil menjerit, “Turun lah! Kami tak nampak!”

Suasana cemas turut tercetus apabila sekumpulan lelaki Indonesia yang tidak berbaju berlari-larian sambil melanggar penonton-penonton yang lain di sekitar Stadium Bukit Jalil.

Bagi ibubapa yang membawa anak-anak kecil , perasaan kurang senang serta khuatir akan keselamatan mereka dirasai pada malam tersebut.

Mungkin insiden-insiden seperti ini merupakan satu norma bagi sesetengah penonton untuk berhibur ketika menonton konsert.

Namun, janganlah dibiarkan keghairahan untuk berhibur mengganggu keselamatan ribuan penonton yang lain menerusi perbuatan yang tidak senonoh serta membahayakan.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s