Konsert So7 dijamin “sold out”

Radin Sri Ghazali


Barisan terkini So7… Adam, Brian, Duta dan Eross bakal menggegarkan Malaysia dengan ‘Digi Sheila On 7 Malaysian Tour’
(Gambar: Darran Tan)

KUALA LUMPUR: Kumpulan rock tersohor Indonesia, Sheila On Seven (So7) bakal mengadakan konsert bergerak menerusi ‘Digi Sheila On 7 Malaysian Tour’ di beberapa buah ibu negeri di Malaysia pada bulan Ogos kelak.

Band yang dianggotai oleh Akhidayat Duta Modjo (vokalis), Eross Chandran (pemain gitar), Brian Kresno Putra (pemain drum) dan Adam M Subarkah (pemain bass) akan beraksi di Stadium Larkin, Johor pada 13 Ogos, Stadium Likas, Sabah (16 Ogos), Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang, Pulau Pinang (18 Ogos) dan Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur (20 Ogos).

Konsert itu bertujuan untuk meraikan ulang tahun kesepuluh So7 di persada muzik nusantara serta mempromosikan album studio terbaru mereka, ‘5o7’ yang kini berada di pasaran.

Walaupun mereka akan beraksi tanpa kehadiran pemain gitar Sakti Ari Seno yang mengundurkan diri untuk mendalami ilmu agama di Pakistan, So7 tidak patah semangat untuk memberi persembahan yang terbaik demi peminat mereka di Malaysia setelah dua tahun tidak membuat sebarang persembahan di negara ini.

“Kami yakin kesemua peminat kami termasuk yang berada di kawasan timur Malaysia, Brunei dan Singapura akan datang beramai-ramai untuk menyaksikan konsert kami kelak. Sudah semestinya Sheila Gank (gelaran yang diberi kepada peminat fanatik So7) merindui kehadiran kami,” ujar Eross ketika sesi wawancara di Menara Kuala Lumpur baru-baru ini.

Malah, kesemua ahli-ahli So7 yakin, konsert mereka akan mencapai status ‘sold out’ di keempat-empat lokasi yang disebut di atas.

Kali terakhir kumpulan yang berasal dari Yogyakarta ini mengadakan konsert secara besar-besaran adalah pada tahun 2002 yang menyaksikan beribu-ribu orang peminat membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Kumpulan yang berjaya menjual sebanyak 280,000 unit album di Malaysia menerusi enam buah album yang terdahulunya termasuk ‘Anugerah Terindah Yang Pernah Kumiliki’, ‘Kisah Klasik untuk Masa Depan’ dan soundtrack kepada filem‘30 Hari Mencari Cinta,’ bakal mempersembahkan 18 buah lagu kombinasi lagu-lagu lama dan baru selama dua jam.

“Kami akan menjemput sebuah band dari Malaysia untuk beraksi bersama-sama kami namun biarlah identiti mereka dirahsiakan dulu,” ujar Duta yang enggan mengulas dengan terperinci mengenai gimik untuk konsert mereka kelak.


Sheila Gank pasti akan membanjiri keempat-empat lokasi untuk menyaksikan So7
(Gambar: Darran Tan)

Selaku penganjur konsert, syarikat telekomunikasi Digi Sdn Bhd tidak mempunyai masalah untuk mencapai sasaran 15,000 orang penonton untuk setiap konsert yang bakal diadakan.

“Kami tidak gusar malah yakin dengan kebolehan kumpulan So7 untuk menarik lebih daripada jumlah yang disasarkan itu.

Mereka mempunyai karisma serta reputasi yang baik sebagai salah sebuah kumpulan yang tersohor di Indonesia,” jelas Albern Murty, Ketua Pegawai Pengurusan Pemasaran Digi Sdn Bhd mengenai penggunaan stadium-stadium negeri yang berkapasiti besar.

Pihaknya yakin bahawa insiden yang berlaku kepada kumpulan Radja di mana hanya 3,000 orang penonton yang menghadiri konsert bertempat di Stadium Negara itu tidak akan berlaku kepada So7.

Menurut Albern, semua persiapan serta promosi untuk ‘Digi Sheila On 7 Malaysian Tour’ sudahpun bermula sejak sebulan yang lalu.

Digi bakal memberi ganjaran kepada 1,000 orang pelanggan setianya di setiap lokasi dengan memberi pas percuma untuk menghadiri konsert So7 kelak.

Malah pengguna Digi berpeluang untuk memenangi sebuah kereta Naza Bestari serta sebuah gitar yang ditandatangani khas oleh ahli-ahli So7 menerusi pertandingan ‘Digi Sheila On 7 Malaysian Tour SMS Contest’ menerusi laman web www.digi.com.my/mtv.

Tiket-tiket yang berharga RM65 boleh dibeli menerusi www.axcess.com.my atau menghubungi talian 03-77115000.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s