SO7 selepas 10 tahun

SHEILA On 7 (SO7) merupakan antara kumpulan rock dari Indonesia yang berjaya menarik perhatian para peminat apabila album-album mereka dijual berjuta-juta unit di negara itu.

Album SO7 yang berjudul 07 Des, misalnya, dijual melebihi satu juta unit sewaktu ia dipasarkan di Indonesia pada 2002.

Jumlah itu tidak termasuk jualan album-album mereka yang lain seperti Anugerah Terindah Yang Ingin Ku Miliki (2000), Kisah Klasik Untuk Masa Depan (2001), Hari Mencari Cinta (2003), Pria Terhebat (2004) dan The Very Best of SO7: Jalan Terus (2005).

Selepas 10 tahun ditubuhkan, SO7 tetap utuh dalam industri muzik Indonesia. Pada 20 Jun lalu mereka tampil dengan album terbaru berjudul 507.

Sebagai kumpulan yang sudah sedekad ditubuhkan, SO7 tentunya mempunyai banyak pengalaman pahit manis sepanjang karier mereka dalam bidang muzik.

Mega sempat menemu bual Duta yang merupakan vokalis SO7 menerusi telefon baru-baru ini untuk mengetahui perkembangan terbaru kumpulan itu.

Ikuti temu bual wartawan ABD. AZIZ ITAR dengan Duta yang kini sedang sibuk mempromosikan album 507 bersama SO7.

Adakah promosi album 507 juga akan diadakan di Malaysia?

DUTA: Kami tetap akan datang ke Malaysia untuk mempromosikan 507. Tetapi sebelum itu, kami akan mempromosikan album itu di seluruh Indonesia termasuk di Pulau Jawa, Bali dan Lombok. Promosi dan persembahan itu akan bermula dari 22 Julai hingga 9 Ogos ini. Sementara itu, mulai 10 Ogos kami akan berkunjung ke Malaysia untuk mengadakan konsert di Kuala Lumpur. Tetapi sebelum itu pada 18 Julai ini kami akan berkunjung terlebih dahulu ke Kuala Lumpur untuk mempromosikan album itu.

Benarkah Sakti Ari (pemain dram) tinggalkan SO7 untuk menyertai sebuah kumpulan agama Islam di Pakistan?

Sejak dari dulu dia (Sakti) memang aktif dalam soal keagamaan. Tetapi ketika itu di luar aktivitinya itu dia masih lagi anggota SO7. Saya tidak tahu lebih lanjut tentang perkara itu, malah keputusan yang diambilnya juga dibuat secara tiba-tiba.

Benarkah lagu Cahaya Terang yang ditampilkan dalam album SO7 adalah ciptaan Sakti yang berunsur keagamaan?

Itu terpulanglah kepada penerimaan para pendengar tetapi lagu itu menceritakan tentang pengalaman batinnya setelah mendalami ilmu agama.

Sudahkah anda mencari pengganti Sakti dan juga Anton (gitaris) yang keluar daripada SO7?

Kami belum lagi mencari atau bertemu pengganti mereka berdua. Bukannya senang untuk mencari anggota baru. Tetapi kami masih membuka pintu untuk mereka jika mereka mahu menyertai kami semula.

Bagaimanakah anda melihat SO7 tanpa Sakti?

Kami tetap rasa kehilangannya kerana dia (Sakti) begitu rapat dengan kami. Malah, sewaktu dia masih bersama kami, dia selalu menjadi imam dan kami bersolat bersama-sama.

Selepas 10 tahun di manakah tahap SO7 sekarang ini?

Kami sudah menghasilkan lima buah album. Kami sudah cukup dewasa berbanding kumpulan-kumpulan rock lain yang baru mencipta nama di Indonesia.

Adakah anda takut jika tidak popular lagi selepas begitu lama dalam industri muzik di Indonesia?

Kami tidak fikir begitu. Kami akan terus bermain muzik. Kami akan terus mencurahkan bakat muzik yang kami ada. Saya percaya kalau SO7 terus menghasilkan lagu-lagu yang bagus kami akan terus ada peminat.

Mengapa anda mengambil Brian (pemain dram) sebagai anggota baru SO7?

Saya dapati Brian begitu berbakat dan dia sesuai dengan konsep muzik yang kami bawakan. Dia juga berpengalaman bermain muzik di mana sebelum ini dia pernah bermain bersama kumpulan Ticket.

Ceritakan sedikit tentang imej terbaru SO7 yang nampak lebih kemas dan matang?

Gambar terbaru kami memang nampak lebih segar. Kulit album terbaru kami dengan gambar daun yang nampak hijau menggambarkan kesegaran lagu-lagu yang ada dalam album. Tetapi kami harus menyesuaikan dengan status kami yang kebanyakannya sudah pun mempunyai isteri dan anak.

Setelah 10 tahun bersama, adakah SO7 menetapkan satu jangka masa untuk membubarkan kumpulan itu?

Kami belum terfikir untuk membubarkan SO7. Kami akan terus menghiburkan para peminat dengan lagu-lagu dan muzik kami. Sambutan terhadap album-album kami setakat ini sungguh menggalakkan dan ia dijual melebihi 1 juta unit kecuali album Pria Terhebat yang hanya dijual 450,000 unit di Indonesia.

Akhir sekali, pada masa depan adakah anda bercadang untuk mencuba nasib sebagai penyanyi solo?

Saya pernah terfikir tentang perkara itu tetapi saya belum mahu menjadi penyanyi solo. Saya tidak mahu SO7 terbengkalai gara-gara tiada penyanyi kalau saya keluar kumpulan. Priority saya dari dulu sampai sekarang ialah SO7 selain keluarga saya.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s