Konsert Sheila On 7 mantap tapi hambar

SEHARI sebelum penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza mengadakan konsertnya minggu lalu, kumpulan dari seberang Sheila On 7 (SO7) berpeluang menghiburkan peminat mereka di sini.

Bertempat di Stadium Malawati, Shah Alam, SO7 memberanikan diri muncul mengadakan konsert sulung mereka yang ditaja oleh Salem Cool Planet.

Biarpun dianggap masih segar dalam industri muzik Malaysia namun SO7 berjaya menguasai fikiran anak-anak muda sehingga melebarkan pengaruh yang tidak kurang besarnya.

Dalam tempoh yang singkat SO7 mempopularkan lagu-lagu seperti Dan, Bila Kau Tak Di Sampingku dan lagu berhantu, Sephia sehingga melayakkan album kedua mereka Kisah Klasik Untuk Masa Depan terjual sehingga 75,000 unit – satu angka yang cukup besar,

Bertitik tolak dari situ, syarikat rakaman Sony Music (M) Sdn. Bhd., yang bertanggungjawab `menerbangkan’ Duta, Erros, Sakti, Adam dan Anton ke sini menunaikan satu tanggungjawab menampilkan SO7 di sebuah konsert yang besar seperti itu.

Secara tidak langsung harapan peminat ke atas SO7 cukup besar. Sebilangan besar daripada mereka mengharapkan SO7 akan menampilkan sebuah konsert yang hebat, paling tidak akan diperkatakan untuk tempoh yang lama.

Malangnya, keadaan ini tidak berlaku. Jangkaan peminat setia SO7 tersasar. Persembahan mereka pada malam tersebut tidak menepati apa yang dikehendaki oleh penonton.

Malah wartawan hiburan yang berpeluang mengadakan liputan konsert tersebut juga merasakan seakan tiada kelainan yang sering diperoleh dari konsert-konsert sebelum ini.

Apakah terlalu awal bagi SO7 mengadakan konsert di Malaysia atau mungkinkah itu sebenarnya standard persembahan mereka merupakan persoalan yang terus bermain-main di ruang fikiran peminat.

Namun begitu, dalam satu aspek, keberanian SO7 dipuji kerana mereka berani mempertaruhkan masa depan mereka di hadapan peminat di Malaysia.

Demikian juga halnya dengan Sony Music yang sebenarnya mengambil risiko apabila menawarkan SO7 peluang sedemikian rupa.

Pada malam itu hampir dua jam persembahan SO7 berlangsung dengan diiringi oleh persembahan Hanafie Imam Strings Orchestra yang dipimpin sendiri oleh Hanafie.

Lebih 10 lagu dipersembahkan mereka. Gaya persembahan Duta (vokalis utama) begitu bersahaja. Biar bersahaja, namun Duta banyak berinteraksi dengan peminat.

Memang kelebihan Duta terletak di situ, dia bijak berkomunikasi dengan peminat.

Antara lagu yang membuatkan ramai yang tidak berganjak untuk menyaksikan persembahan yang agak hambar itu ialah Dan, Sephia, Bila Kau Tak Di Sampingku, Anugerah Terindah Yang Ku Miliki, Perhatikan Rani dan lain-lain.

Kehadiran Hanafie Imam Strings Orchestra bagaikan tidak membantu perjalanan konsert.

Biarpun Hanafie dikenali kerana kewibawaannya itu, namun entah di mana silapnya, kehadiran kumpulan orkestra itu seolah-olah tidak disedari. Siapa yang harus dipersalahkan?

Namun begitu, baik Sony Music, Hanafie Imam mahupun SO7 sendiri tidak seharusnya melihat kritikan atau teguran ini dari perspektif negatif.

Sebaliknya, kesemua mereka harus menjadikan tindak balas yang diberikan oleh media sebagai satu langkah untuk memperbaiki keadaan pada masa hadapan.

Siapa tahu selepas ini konsert seperti ini akan menjadi 10 kali jauh lebih baik. Segalanya berkemungkinan!

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s