Sheila On 7 terus gah di Indonesia

Oleh: SAHARUDIN MUSTHAFA (Yang membuat liputan Konsert Sheila On 7 di Malang, Surabaya, Indonesia, baru-baru ini)
TIADA siapa yang boleh mempertikaikan andai kata media Malaysia terus membesarkan berita mengenai kehebatan kumpulan remaja terkenal Sheila On 7 (SO7) dari negara jiran, Indonesia.

Bukan niat mahu memperkecilkan kemampuan anak bangsa sendiri, tetapi hakikatnya penyanyi tempatan (khususnya artis berkumpulan) kita perlu mendalami dengan lebih jauh ilmu muzik sebelum dapat menandingi SO7.

Pengaruh SO7 di negara kelahiran mereka sememangnya cukup besar dan sudah bertapak di setiap inci tanah Indonesia.

Populariti mereka nyata tidak terbatas pada golongan sebaya tetapi juga di kalangan peminat kecil dan orang dewasa termasuk para pelajar dari luar negara seperti Jepun dan Australia.

Hakikat ini dapat dilihat oleh penulis yang berkesempatan menonton salah satu daripada siri konsert SO7 dalam A Mild Love Konsert di Gedung Merdeka, Universiti Merdeka, Malang, Surabaya, minggu lalu.

Bersama mereka, kumpulan muzik tempatan Padi turut muncul sebagai artis jemputan.

Di kalangan lebih 5,000 penonton tempatan, terselit tiga orang penuntut dari Australia dan beberapa penuntut dari Jepun yang sedang mengikuti pengajian di negara bekas tanah jajahan Belanda itu.

Duta (vokalis), Eross (gitar), Adam (bass), Anton (deram) dan Sakti (gitar), lima tunggak kekuatan SO7 dengan penuh `gah’ membuktikan mereka kini mengungguli industri muzik Indonesia.

Kesemua 10 lagu nyanyian SO7 pada hari konsert tersebut, antaranya Pagi Yang Menakjubkan, Sahabat Sejati, Kisah Klasik, Temani Aku dan Sephia mendapat sambutan hangat daripada peminat mereka.

Sementara lagu Perhatikan Rani, Dan, Kita, Jadi Aku Pacarmu dan Bila Kau Tak Di Sampingku membuat penonton tidak mahu berganjak meskipun konsert sudah pun berakhir.

Kemampuan vokal Duta diperkukuhkan dengan `pukulan’ bertenaga anggota kumpulan itu yang bermain peralatan muzik.

“Apa sahaja kerjaya yang dilakukan haruslah berlandaskan kejujuran kerana setiap usaha yang jujur akan dapat dilihat oleh audiens (penonton),” kata Duta ketika diminta mengulas mengenai falsafah perjuangan muzik mereka.

Konsert menjadi medan utama buat anak-anak muda ini untuk menterjemahkan suara hati mereka kepada pencinta muzik.

Anggota SO7 juga berpegang teguh pada pegangan jati diri yang mana penekanan mengenai kecintaan kepada negara dapat dilihat di sebalik makna yang terselindung dalam lirik lagu dan interaksi mereka dengan penonton mahupun pihak media.

Barangkali berpegang kepada kekuatan itu, SO7 berupaya mencatat jualan album sehingga ke angka 1.5 juta unit buat album kedua mereka Kisah Klasik, manakala untuk album pertama mereka pula kumpulan ini berjaya mencatat angka 1.2 juta.

Pengaruh itu turut dilebarkan oleh SO7 ke Malaysia dan nyata percaturan mereka tidak silap kerana muzik yang mereka jaja itu turut digemari peminat di sini.

Persoalan siapa yang membeli album SO7 di Malaysia sama ada peminat muzik tempatan atau rakyat Indonesia yang berhijrah ke sini sukar dijelaskan.

Tetapi yang pasti semenjak memanjangkan langkah ke Malaysia kumpulan itu berjaya menjual album mereka sebanyak 40,000 unit – satu angka yang sebenarnya cukup membanggakan pada saat industri muzik berdepan dengan tekanan cetak rompak.

Sebagai menghargai kejayaan itu, syarikat rakaman Sony Music telah meraikan SO7 melalui penganugerahan platinum yang disampaikan oleh Pengurus Bahagian Melayu Sony Muzik Malaysia, Amran Omar.

Turut menerima anugerah itu ialah wakil Pengarah Kanan Artis dan Repertoire Sony Muzik Indonesia, Jan N. Djuhana.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s