Sheila On 7 `gempur’ Malaysia

LEBIH kurang pukul 2.30 petang ini, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan menerima kunjungan tetamu istimewa dari Jakarta, Indonesia.

Pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) telah menerbangkan kumpulan muzik popular dari negara jiran, Indonesia, Sheila On 7.

Sebaik mereka menjejakkan kaki ke bumi bertuah Malaysia, pastinya peminat seni suara tanah air akan dilanda demam kumpulan itu.

Ini kerana sudah sekian lama, pencinta muzik Indonesia di negara ini merindui untuk melihat sendiri wajah lima anak muda yang menganggotai kumpulan yang cukup popular dengan lagu Dan itu.

Demikian juga rakyat negara yang serumpun dengan Malaysia yang menetap di sini, sudah tidak sabar-sabar untuk bersua muka dengan artis yang mempunyai pengaruh yang cukup besar di negara bekas tanah jajahan Belanda itu.

Sheila On 7 atau ringkas SO7 khabarnya sudah bersiap sedia untuk `menggempur’ industri muzik Malaysia yang sebelum ini telah banyak menerima kehadiran artis seangkatan seperti kumpulan Dewa, Kris Dayanti, Rosa, Reza dan ramai lagi.

Mereka tiba di sini dengan seribu harapan agar muzik dan imej mereka dapat diterima dengan baik.

Selama enam hari di Kuala Lumpur, Duta, Eross, Anton, Saktia dan Adam yang menjadi tunjang kekuatan SO7 berharap muzik akan menyatukan dan mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara karyawan muzik kedua-dua negara.

“Seperti juga teman artis negara kami yang lain, SO7 juga tidak mahu ketinggalan `mencuri’ perhatian peminat muzik di Malaysia.

“Kami difahamkan industri muzik di Malaysia turut mengalami perubahan yang besar dan kami mahu berkongsi idea dan pengalaman itu,” kata mereka dalam satu kenyataan melalui syarikat rakaman Sony Music (M) Sdn. Bhd.

Berikutan kejayaan SO7 mencipta kejayaan memberangsangkan di negara mereka melalui catatan jualan album melebih 1.3 juta unit untuk album sulung mereka, Sony Music (M) Sdn. Bhd. tidak teragak-agak untuk membawa mereka ke negara ini.

Menurut Pengurus Kanan Promosi syarikat tersebut, Sam Kassim, berikutan itu pihaknya telah menyiapkan jadual yang padat untuk kumpulan itu sepanjang enam hari mereka di sini.

Katanya, selain mengadakan temu ramah dengan pihak media, SO7 juga akan beraksi dalam satu mini konsert yang akan diadakan di pusat hiburan Mcities, Kuala Lumpur pada 9 Februari ini.

“Kunjungan sulung mereka ke Kuala Lumpur dijangka akan mendapat sambutan hebat memandangkan SO7 mempunyai nama dan pengaruh yang cukup besar di Indonesia dan Kuala Lumpur,” jelas Sam lagi.

Kunjungan SO7 ini juga bukan sekadar untuk bertemu peminat mereka tetapi juga mempromosikan album kedua Kisah Klasik Untuk Masa Depan.

Kepada peminat setia SO7 jangan lupa mengikuti perkembangan kumpulan itu sepanjang mereka di Kuala Lumpur melalui akhbar dan radio rasmi Era yang akan menghebahkan perkembangan mereka dari semasa ke semasa.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s